Sunday 22 February 2009

UMNO PENAKUT Berdepan Mahkamah Rakyat Perak

Read here for more

Umno cukup takut berdepan mahkamah rakyat di Perak

by

Razali Endun

Excerpts:

Kemelut politik di Perak semakin kalut.

Adun Pangkor, Dr Zambry Abdul Kadir sudah pun mengangkat sumpah pada jam 4.00 petang hari Jumaat 6 Feb. sebagai Menteri Besar yang baru. Nama beliau diperkenankan oleh Sultan Perak setelah dipersembahkan oleh Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi.

Manakala Mohammadd Nizar Jamaluddin enggan melepaskan jawatan Menteri Besar walaupun dititahkan oleh Tuanku Sultan berbuat demikian. Sebelum itu Nizar telah menghadap Sultan mohon perkenan baginda untuk dibubarkan Dewan Undangan Negeri.

Atas penolakan SPR mengadakan pilihan raya kecil bagi kedua-dua kawasan itulah, maka Menteri Besar Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin mengumumkan akan memohon agar dibubarkan Dewan Undangan Negeri oleh Sultan.

Beliau telah mohon perkenan Sultan untuk bubarkan Dun, tetapi permohonan itu tidak diperkenankan.

Timbul pula persoalan bahawa kenapa Sultan tidak menerima nasihat Menteri Besarnya?

Dalam kaedah perundangan nasihat daripada Menteri Besar, Ketua Menteri dan Perdana Menteri hendaklah diterima oleh Sultan atau Yang di-Pertuan Agong tetapi dalam hal membubarkan Dun atau Parlimen, baginda boleh menolaknya.

Namun, yang jelas pertikaian ini seharusnya diselesaikan dengan dipulangkan semula kepada suara rakyat menentukan. Ini yang dikehendaki oleh Pakatan Rakyat, tetapi Umno-BN mahu mengelakkan perkara ini berlaku. Sebab itu mereka menggunakan pelbagai helah dan alasan supaya pilihan raya tidak diadakan.

Umno-BN sebenarnya takut untuk berhadapan dengan rakyat kerana mereka tahu peluang untuk mereka menang adalah sangat tipis. Kemungkinan mereka akan hilang banyak kerusi lagi adalah satu kebarangkalian yang tidak boleh dipandang remeh.

Kerajaan Umno-BN yang baru di Perak tidaklah kuat dan kukuh kerana mereka sebenarnya menghadapi risiko yang tinggi. Pertama, suara majoriti mereka ialah tiga orang ini yang merupakan ahli Bebas. Bebas bukan sebuah organisasi atau parti politik yang berdaftar. Bebas bererti boleh condong ke arah mana sahaja mengikut situasi.

Kedua, dua daripadanya menghadapi pertuduhan rasuah di mahkamah. Sekiranya mereka dibebaskan, persepsi masyarakat sudah tentu beranggapan bahawa pembebasan mereka sudah dirancang terlebih dahulu oleh pihak-pihak tertentu. Kalau mereka disabitkan kesalahan, maka tinggal seorang sahaja lagi iaitu bekas ahli DAP. Kemungkinan beliau berpaling tadah kepada Pakatan Rakyat semula tidak boleh ditolak.

Apa yang jelas kerajaan baru di Perak masih dalam pertikaian. Kesahihannya mengikut undang-undang masih boleh dipersoalkan. Dengan keengganan Nizar meletakkan jawatannya, Perak sekarang mempunyai dua MB.

Hakikatnya, Nizar masih belum letak jawatan dan watikah perlantikan Sultan itu masih berkuat kuasa.

Tidak ada usul tidak percaya dihadapkan terhadapnya. Kes mahkamah masih berjalan, maka selagi itu beliau masih sah sebagai MB kecuali diputuskan oleh mahkamah.

Nizar seolah-olah dipecat oleh Sultan. Persoalannya, adakah Sultan ada kuasa memecat MB?

Atas pertimbangan semua ini, maka adalah wajar Dewan Undangan Negeri dibubar dan diadakan pilihan raya yang baru bagi mendapatkan mandat rakyat semula. Sekiranya Umno-BN menang dengan majoriti yang lebih maka mereka boleh memerintah dengan selesa.

Sekiranya Pakatan memperolehi kelebihan majoriti yang selesa, mudah juga bagi mereka memerintah. Sudah tentu rakyat Perak juga mahukan kaedah ini, iaitu supaya suara mereka menjadi penentu dalam menentukan kerajaan mengikut lunas-lunas demokrasi.

Dalam sistem demokrasi berperlembagaan, Sultan hanya sebagai lambang dan ketua. Kerajaan dipilih oleh rakyat kerana suara rakyat adalah suara keramat. Kemelut ini seharusnya dikembalikan kepada rakyat untuk menentukan.

Kenapa mesti takut berdepan dengan rakyat?

No comments: