Wednesday 1 July 2009

Melayu TIDAK Memerlukan Perpaduan Politik


Quote

"... Perpecahan politik orang Melayu sebenarnya TIDAK dapat dielakkan.

Dan sekiranya pihak-pihak yang begitu gah memperjuangkan nasib Melayu ingin melihat orang Melayu maju kehadapan, maka perpecahan politik ini seharusnya diraikan dan bukannya ditangisi.

Kita TIDAK perlu gentar kerana orang Melayu mempunyai mempunyai fahaman politik yang berbeza.

“Perpecahan” politik orang Melayu adalah suatu perkembangan semulajadi yang menunjukkan bahawa orang Melayu kini semakin maju.

Minda Melayu telah mengalami suatu revolusi, menjadikan mereka semakin kritikal dan TIDAK lagi menerima apa yang diberitahu oleh pemimpin mereka dengan seadanya.

Orang Melayu sudah boleh menilai dan membentuk pendapat mereka
dengan sendiri.

Mereka TIDAK lagi memerlukan pemimpin-pemimpin mereka untuk memutuskan apa yang terbaik untuk mereka.

-Syahredzan Johan


by

Syahredzan Johan

Read here for more

Nampaknya isu kerajaan perpaduan, yang diwar-warkan oleh beberapa pemimpin PAS dan dijadikan bahan politik oleh pemimpin UMNO akan berakhir.

Pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat telah sebulat suara menolak cadangan kerajaan perpaduan.

Ketika isu tersebut hangat dibincangkan, para pemimpin UMNO rata-rata begitu menyambut baik cadangan kerajaan perpaduan yang dicadangkan, dengan alasan bahawa sebuah kerajaan perpaduan dapat “memulihkan semula” perpaduan di antara orang Melayu-Islam di negara ini. Mengikut mereka, orang Melayu kini sudah berpecah tiga mengikut parti politik: UMNO, PAS dan PKR.

Sebenarnya bicara tentang perpecahan politik Melayu ini bukannya baru.

Sejak berlakunya tsunami politik Mac 2008, banyak pihak telah memperkatakan tentang bagaimana kuasa politik orang Melayu telah menjadi “lemah”. Seringkali dikatakan bahawa sekiranya orang Melayu tidak memegang kuasa politik, mereka akan tenggelam di negara ini. Dikatakan bahawa kuasa politik ini akan memastikan bahawa orang Melayu tidak dipinggirkan dan juga memastikan bahawa segala perancangan nasional akan memuatkan “agenda Melayu”.

Mengikut teori ini, apabila orang Melayu tidak menyokong UMNO, maka UMNO akan menjadi lemah. Dan apabila UMNO lemah, maka orang Melayu juga akan menjadi lemah.

Hakikat sebenarnya adalah UMNO tidak lagi menjadi parti tunggal untuk orang Melayu.

Sejak krisis politik tahun 1998, sokongan politik orang Melayu tidak lagi berpihak kepada parti UMNO sahaja. Walaupun UMNO telah sedikit sebanyak memulihkan sokongan orang Melayu yang merudum begitu teruk ketika krisis tersebut, sokongan tersebut tidak seperti tahap-tahap yang terdahulu.

Tsunami politik Mac 2008 berlaku kerana sokongan bukan Melayu kepada Barisan Nasional telah berkurangan dengan ketara dan sokongan orang Melayu untuk UMNO hanya berada pada lebih sedikit daripada separuh.

Mungkin satu ketika dahulu, orang Melayu boleh bersatu di bawah “payung” UMNO. UMNO-lah pilihan utama orang Melayu. Parti-parti politik yang lain sukar mendapat tempat di dalam hati orang Melayu. Tetapi orang Melayu kini lain daripada orang Melayu dahulu.

Zaman di mana “UMNO itu Melayu dan Melayu itu UMNO” telah BERAKHIR.

Lebih penting lagi, orang Melayu kini semakin membangun dan berkembang.

Orang Melayu kini mempunyai PELBAGAI ideologi dan fahaman politik.
  • Ada yang mahukan agenda Melayu dijadikan agenda nasional.

  • Ada yang memperjuangkan apa yang dikenalpasti sebagai “hak-hak” Melayu. Ada yang ingin membentuk sebuah negara Islam.

  • Ada yang ingin menjadikan agama sebagai panduan dalam menerajui negara ini. Ada yang mahukan kesamarataan di antara kaum.

  • Ada yang mahu dasar-dasar yang adil kepada semua kaum.
Tidak mungkin kesemua fahaman-fahaman ini boleh bergabung di bawah naungan sebuah parti.

Kita tidak perlu gentar kerana orang Melayu mempunyai mempunyai fahaman politik yang berbeza.

“Perpecahan” politik orang Melayu adalah suatu perkembangan semulajadi yang menunjukkan bahawa orang Melayu kini semakin maju.
  • Minda Melayu telah mengalami suatu revolusi, menjadikan mereka semakin kritikal dan tidak lagi menerima apa yang diberitahu oleh pemimpin mereka dengan seadanya.

  • Orang Melayu sudah boleh menilai dan membentuk pendapat mereka dengan sendiri.

  • Mereka tidak lagi memerlukan pemimpin-pemimpin mereka untuk memutuskan apa yang terbaik untuk mereka.
Kuasa politik Melayu TIDAK akan menjadi lemah hanya kerana UMNO bukan lagi pilihan tunggal orang Melayu.

Malahan, didapati bahawa selepas pilihanraya umum tahun lalu, bilangan ahli Parlimen Melayu telah BERTAMBAH berbanding dahulu. Jadi bagimana dakwaan boleh dibuat bahawa kuasa politik Melayu sudah semakin goyah?

Apa yang lebih penting daripada perpaduan politik mengikut kaum adalah kematangan dalam berpolitik. Ahli dan penyokong parti politik tidak perlu bertelagah, bergaduh dan berhiruk-pikuk untuk setiap isu yang timbul, hanya kerana mereka berbeza ideologi politik. Kerjasama merentasi batas-batas kepartian adalah penting bagi menyelesaikan isu-isu yang melanda negara ini. Ahli dan penyokong parti politik haruslah bersedia untuk meninggalkan fahaman politik bagi sesetengah perkara demi mencapai kebaikan bersama.

Perpecahan politik orang Melayu sebenarnya tidak dapat dielakkan. Dan sekiranya pihak-pihak yang begitu gah memperjuangkan nasib Melayu ingin melihat orang Melayu maju kehadapan, maka perpecahan politik ini seharusnya diraikan dan bukannya ditangisi.
-Syahredzan Johan

1 comment:

Anonymous said...

Akhirnya, tanyalah Presiden UMNO, Najis Tun Razak, apakah makna singkatan (UMNO) yang terletak diatas bumbung PWTC!