Friday 22 January 2010

Kelantan PAS Govt Says NON-Muslims in Kelantan Can Use the Word "Allah".

Read here for more



Kerajaan Kelantan TIADA HALANGAN bagi masyarakat BUKAN Islam negeri itu menggunakan kalimah ‘Allah’, baik dalam pertuturan maupun dalam buku-buku agama mereka.

Menteri Besar Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kerajaan negeri tidak bercadang mengikut jejak negeri-negeri lain melarang kalimah ‘Allah’ digunakan orang bukan Islam.

Beliau berkata:
“Keputusan ini diambil memandangkan keadaan di negeri ini memperlihatkan keharmonian antara kaum yang terjalin erat.

Pada asasnya saya sudah jawab, memang boleh guna kalimah ‘Allah’.

Bagaimanapun kerana ada mainan di belakang, jadi untuk menyekat perkara yang tidak betul maka menurut usul fiqh ia harus disekat.


Benda harus kalau bahaya perlu disekat, tetapi kalau benda harus ada manfaat wajib dilakukan, macam air kalau minum air sejuk sebab baik maka wajib dilakukan.

Tetapi kalau doktor kata minum air sejuk tak baik kepada kesihatan maka wajib kita minum air
panas.

Saya akin rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri ini memahami keadaan sebenar di sebalik isu tersebut.

Peringkat pertama, mahu keharmonian ada dalam kehidupan masyarakat pelbagai kaum dan agama, manakala kedua melihat perkembangan semasa yang berlaku.

Kita mahu beri kefahaman kepada rakyat Kelantan memang nama Allah baik, cuma orang hendak guna nama Allah lebih baik ambil Islam dan jangan ambil nama sahaja.”
Baru-baru ini beberapa negeri melarang penggunaan kalimah Allah dan beberapa perkataan lain di kalangan orang bukan Islam.

Misalnya Selangor tidak membenarkan kalimah ‘Allah’ digunakan orang bukan Islam. Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, bagi mengelakkan niat tidak baik terhadap kalimah ‘Allah’ sekatan boleh dibuat.

Related Article

"ALLAH" Milik Siapa


Read here for more in Utuh Paloi Banjar Blog

Alkisah. Melayu itu semuanya Islam tapi Islam tidak semestinya Melayu. Islam itu berkait rapat dengan Allah tapi adakah Allah itu milik mutlak orang Melayu?

Setelah sekian lama, barulah jelas kenapa isu Allah sukar ditangani. Akhirnya ada juga pak menteri yang berani berterus terang. Atau tersilap cakap?
“Those people not in politics, they can say anything. But people like me, I depend on my voters.”
Atau dalam Bahasa Melayu
“Mereka yang di luar politik boleh berkata apa saja. Tapi, orang seperti saya, bergantung kepada pengundi.”
Perkataan ‘saya’ sepatutnya diganti dengan ‘kami’ kerana kenyataan Datuk Seri Nazri sebenarnya mewakili majoriti ahli politik UMNO dan segelintir Pakatan Rakyat.

Umum tahu bahawa UMNO hari ini tak ubah seperti orang yang hampir lemas dibawa arus deras dan akan memegang apa saja untuk dijadikan talian hayat. Bila nyawa sudah sampai di kerongkong, ranting pun boleh dibuat tempat bergantung.

Ringkasnya, pemimpin UMNO bukan lagi memimpin tapi dipimpin oleh anak cucu ‘pak kaduk’ yang masih riuh berpesta walaupun kampung sudah lama tergadai.

Kenyataan Nazri seterusnya boleh juga membawa tafsiran bahawa Allah kini sudah mempunyai dua wajah. Di Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah persekutuan, Allah berwajah universal, manakala di negeri-negeri lain

Dia bersifat perkauman. Kenapa?

Allah, seperti juga Ketuanan Melayu, sudah dijadikan senjata politik.

Senjata itu bertambah ampuh apabila ‘enakmen’ negeri-negeri di Semenanjung dijadikan kubu untuk berlindung. Walaupun enakmen itu boleh dipinda, mereka yang berkuasa tidak akan melakukannya selagi belum terdesak, selagi belum mendapat isyarat jelas perubahan angin pengundi Sabah dan Sarawak.

Kalau UMNO tidak menganggap isu Allah sebagai senjata penting, masakan KDN sendiri yang membuat rayuan sekali gus menyanggah keputusan hakim mahkamah tinggi.

Dan secara tidak langsung memberi isyarat kepada mahkamah rayuan supaya tidak membuat keputusan serupa. Apabila kementerian melenting, mempertikai keputusan hakim, maka telinga nipis orang Melayu pun terus berdesing.

Orang Melayu yang kononnya mempertahan kesucian agama hilang pertimbangan, sehingga sanggup bertindak liar. Apa rasanya kalau orang lain merosakkan masjid, surau dan madrasah kita?

Selama ini kita marah bila Barat mengaitkan Islam dengan keganasan. Orang Melayu yang bertindak ganas ke atas gereja dan kuil sebenarnya me’rubber-stamp’kan tanggapan Barat - Islam sinonim dengan keganasan.

Manakala sikap toleransi dan kesabaran pihak yang jadi mangsa menaikkan lagi imej agama mereka sebagai pendokong keamanan.

Adakah dengan menghalang agama lain menggunakan kalimah-kalimah tertentu dapat memberikan orang Melayu jalan pintas ke syurga? Atau dapat membetulkan akidah remajanya yang sudah terpesong?

Kalau jawapnnya ia, maka izinkan saya untuk berbeza pendapat.

Longgarnya akidah remaja Melayu hari ini bukan kerana pengaruh gereja dan majalah mereka. Kalau pun ada yang terpesong, kenapa disalahkan orang lain? Seperti juga dalam peperangan, kalau tewas, kenapa salahkan kekuatan musuh? Kenapa tidak salahkan kekurangan persiapan sendiri?

Ramai pernah mendengar hadis yang bermaksud, “Setiap anak dilahirkan atas fitrah, terpulanglah kepada ibu bapa untuk mencorakkannya sama ada menjadikannya Yahudi, Majusi atau Nasrani.”

Namun, sejauh manakah ibu bapa mengamalkan gaya hidup yang berteraskan Islam secara menyeluruh, membina diri dan keluarga, membentuk anak-anak dengan jati diri muslim sejati?

Kalau pun ada, bilangannya dapat dikira dengan jari. Hari ini, lebih ramai yang berlumba – lumba mencari harta dunia dan kemewahan. Semua berkait rapat dengan wang dan keuntungan sehingga tiada garis pemisah antara halal dan haram.

Akibatnya, lahirlah golongan remaja dan masyarakat yang runtuh akhlak dan goyah iman hingga terhakis satu persatu nilai suci agama yang seharusnya menjadi pedoman dan penyelamat kehidupan manusia. Kefahaman terhadap Islam semakin gersang diganti dengan fahaman jahiliah yang menjadi teras kehidupan masyarakat Melayu hari ini.

Apakah itu semua berpunca dari pengaruh agama lain atau semata-mata kerana sifat semula jadi orang Melayu? Setelah melihat bayang-bayang sendiri yang menggerunkan, maka diciptalah pelbagai alasan untuk mengalih pandangan.

Bermula dengan isu pendatang, ketuanan Melayu dan yang terkini usaha ’mempatentkan’ atau meng’copyright’kan kalimah Allah.

Persoalannya, adakah dengan memonopoli penggunaan kalimah ‘Allah’ akan dapat menyedarkan orang Melayu, atau mengembalikan muda mudinya yang sinonim dengan rempit, bohsia, dadah, black metal, punk, skinhead dan bermacam lagi gejala negatif, ke jalan lurus?

Sebenarnya orang Melayu takut menghadapi kenyataan bahawa kegagalan menerapkan roh dan akidah Islam itulah punca terpesongnya halatuju mereka. Selagi kita tidak berani menerima kenyataan, selagi bapa tidak berhenti kencing berdiri, selama itu jugalah anak-anak akan terus kencing berlari.

Bila Hadi Awang dan Nik Aziz bersuara, mesin gema UMNO segera mengaitkannya sebagai umpan politik. Anehnya, (sebenarnya bukan aneh) bisunya ulama UMNO tidak pula dikaitkan dengan politik - menjaga kepentingan majikan yang bergantung harap kepada pengundi.

Presiden PAS sudah pun mengeluarkan pendapat dengan hujah dan nas. Apakah pula pendapat presiden UMNO? Sanggupkah menerima atau menolak dengan hujah dan nas tersendiri, atau hanya mendiamkan diri demi menjaga hati penyokong dan pengundi yang masih lena dibuai mimpi?

Atau bersetuju dengan pandangan radikal DS Nazri, “Actually, in my opinion, I prefer to let it be.”

Orang seperti saya yang hanya tahu Rukun Islam dan Rukun Iman, Fardhu ‘Ain dan Fardhu Kifayah, bangsa dan agama manapun yang ingin menggunakan perkataan ‘ALLAH’ tidak jadi persoalan.

Menghayati hukum Wajib, Sunat, Makruh, Harus dan Haram lebih penting dari meniru aksi ayam jantan yang riuh berkokok sedangkan ekor bergelumang tahi.

1 comment:

ktteokt said...

Looks like the Islam practised by PAS is DIFFERENT from that practised by UMNO! Are there TWO AL-QURANs in the world?